Entri ini khas buat anda yang bakal
melahirkan anak, saya kongsikan adab-adab yang disunatkan dalam Islam
ketika menyambut kelahiran bayi :
1. Melakukan sujud syukur
sebagai tanda kesyukuran kepada Allah. Suami boleh lakukan di mana
sahaja dia berada ketika itu. Ia elok dilakukan sebaik sahaja anak
keluar daripada rahim ibu. Perbanyakkan bacaan zikrullah (tasbih,
takbir dan tahmid).
2. Mengikut hadis sahih daripada Abu Daud dan Tarmizi, sunat untuk diazankan di telinga bayi sebab
ia dibuat oleh Nabi Muhammad s.a.w ketika cucu baginda, Hassan lahir.
Imam Ibnu Qayyium memberitahu azan dilakukan supaya kalimat seruan
tentang kebesaran Allah menjadi seruan pertama yang didengar oleh bayi.
Sementara Sheikh Muhammad Ali Qutub
pula menyamakan seruan azan/iqamat seperti bacaan talqin. Kelahiran
bayi bermaksud bayi berpindah dari alam rahim ke alam dunia, seruan
azan mengingatkan bayi tentang tanggungjawabnya di dunia. Sebab itu
bayi menangis ketika baru lahir ke dunia.
3. Memohon doa keselamatan untuk anak supaya dijauhkan daripada gangguan syaitan. Apa-apa sahaja doa yang diketahui oleh ibu bapa boleh dibacakan. Nabi Muhammad s.a.w juga melakukan amalan ini apabila cucundanya lahir. Amalan ini disebut dalam hadis sahih dari Bukhari. Ustaz Abu Hasan mengingatkan ibu bapa agar jangan sekali-kali melakukan amalan meletakkan gunting, paku dan sebagainya lagi di bawah bantal bayi bertujuan menghalau syaitan atau sebarang gangguan iblis. Ia boleh jatuh syirik kerana ia perbuatan yang khurafat.
4. Sunat memberi ucapan tahniah
kepada ibu bapa yang baharu sahaja mendapat anak. Ia ada disebut dalam
kitab Imam An-Nawawi. Tujuannya untuk menghulurkan rasa kegembiraan
kepada seluruh ahli keluarga yang memperoleh cahaya mata baharu selain
mengeratkan kemesraan dan ikatan silaturrahim di antara mereka.
Disarankan mereka yang berkunjung melawat bayi turut menghulurkan buah
tangan seperti hadiah, wang dan sebagainya kepada ibu bapa tersebut.
5. Tanam uri dengan segera kerana
ia adalah benda kotor dan najis. Menurut Ustaz Abu Hasan, uri tersebut
tidak perlu dibersihkan seperti dilakukan sesetengah masyarat yang
membersihkan uri dengan garam dan asam gelugor. Sebaiknya bungkus terus
dan segera ditanam. Elok ditanam di tanah yang keras dengan mencangkul
dalam tanah untuk mengelakkan daripada dikorek dan dimakan binatang.
Selain itu dia juga mengingatkan ibu bapa agar jangan percaya kepada
amalan sesat yang menanam uri bersama objek lain kerana percaya memberi
nasib yang baik kepada bayi. Amalan itu boleh merosakkan akidah.
6. Sunat menamakan anak yang baharu lahir dengan nama yang elok dan membawa makna baik kerana nama itu yang akan dipanggil di hari akhirat kelak. Nabi menyuruh ibu bapa memberi nama anak pada hari ke-7 atau secepat yang boleh.
7. Sunat melakukan tahnik
atau belah mulut bayi baharu lahir. Tahnik ialah mengunyah buah kurma
dan diletakkan sedikit rasanya di dalam mulut bayi. Tahnik bertujuan
memohon kepada Allah SWT supaya anak yang dilahirkan mempunyai lidah
yang fasih dan terkawal lidahnya daripada menyebut perkara-perkara yang
tidak berfaedah dan mendatangkan maksiat walaupun perkara ini boleh
dilakukan oleh orang yang soleh namun bapa kepada anak tersebut lebih
utama melakukan tahnik untuk anaknya kerana hadis riwayat oleh Tirmizi
menyebutkan salah satu doa yang paling mustajab ialah doa ibu bapa
untuk anaknya”.
8. Sunat membuat aqiqah yang
bermaksud penyembelihan binatang ternakan seperti kambing, lembu,
kerbau atau unta dan lebih afdal dilakukan pada hari ketujuh kelahiran
bayi. Hadis Abu Daud ada menyebut aqiqah dilakukan sebagai tanda
kesyukuran kepada Allah SWT supaya mendekatkan anak kepada Allah.
Daging sembelihan hendaklah disedekahkan kepada orang sekeliling supaya
mereka tahu tentang kelahiran anak anda. Tetapi jika ibu bapa tidak
mampu melakukan aqiqah tersebut dalam masa terdekat, ia boleh dilakukan
sebelum aqil baligh si anak. Sunah Rasulullah menyuruh aqiqah dua ekor kambing bagi anak lelaki dan seekor kambing bagi anak perempuan.
9. Mencukur jambul atau rambut anak yang baharu lahir. Menggunting sedikit rambut bayi pada hari ke tujuh adalah sunat. Ini sebagai tanda permulaan kehidupan anak kecil sebagai manusia dan hamba di sisi Allah selain menggalakkan pertumbuhan rambut baharu yang lebih sihat. Selalunya majlis kenduri diadakan untuk menyambut kelahiran bayi. Sesiapa sahaja boleh menggunting rambut baik tetapi lebih baik jika dilakukan orang yang soleh dan keluarga terdekat. Menggunakan buah kelapa dan segala macam campuran seperti garam, beras dan bunga semasa mencukur rambut anak tidak dibenarkan kerana amalan ini diambil daripada budaya Hindu.
10. Mengkhatankan anak. Hadis
daripada Al-Baihaqi menyebut Rasulullah bukan hanya menyembelih
kambing tetapi turut mengkhatankan bayi baharu lahir pada hari ketujuh.
Berkhatan bagi lelaki bertujuan untuk kebersihan, mencegah penyakit
dan seksual. Perkara ini menjadi sunat kepada kaum perempuan dan satu
kewajiban bagi lelaki. Bagi perempuan tidak perlu sebab Imam Syaukawi
sebut tidak ada dalil yang sahih tentang wajib berkhatan bagi
perempuan.
Sumber http://www.ciklaili.com/2011/12/adab-ketika-menyambut-kelahiran-bayi.html#ixzz2HZ25YKaS
No comments:
Post a Comment